Author: admin

Kelantan bergaya belasah Pulau Pinang

Kelantan mencatat kemenangan kedua penuh bergaya dengan menewaskan Pulau Pinang 6-2. Kelantan terlebih dahulu ketinggalan 1 gol seawal minit ke 5 menerusi jaringan sendiri Asraf Zakri Efendey.

Asraf kemudian menebus kembali kesalahan jaringan sendiri beliau dengan memadamkan kelebihan pasukan lawan apabila membuka jaringan pertama Kelantan pada minit ke 6. Asraf sekali lagi menambah gol peribadi kedua untuk meletakkan Kelantan mendahului 2-1 pada minit ke 10. 5 minit berselang, Firdaus Amzar menambah 1 lagi gol untuk menjadikan kedudukan pasukan Kelantan 3-1 mengatasi Pulau Pinang.

Izzat Aqiyudin meletakkan Kelantan selesa menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 4-1 menerusi jaringan sepakan percuma seminit sebelum wisel penamat separuh masa.

Di babak kedua, kapten pasukan Kelantan, Aqim Salahuddin menjaringkan gol ke 5 pada minit ke 27 disusuli dengan pemain muda Kelantan yang baru berusia 17 tahun, Faaris Amsyar menambah derita pasukan Pulau Pinang dengan menjaringkan gol ke 6 pasukan Kelantan.

Pasukan Pulau Pinang mendapat gol saguhati kedua pada penghujung permainan pada minit ke 38. Kelantan berpeluang menambah jaringan selepas mendapat sepakan penalti seminit kemudian pada minit 39 tetapi gagal disempurnakan bekas pemain kebangsaan, Aqil Khalis.

Dengan kemenangan ini pasukan Kelantan melonjak kedudukan ke tangga kedua liga, mengekori rapat pasukan Kedah yang masing-masing mengumpul kutipan 6 mata. Pasukan Kelantan akan menanti saingan Negeri Sembilan dan Melaka pada 29 & 30 Jun ini di Gelanggang Futsal Wisma FAM, Kelana Jaya.

ATM TERKULAI LAYU DIBEDIL KELANTAN

Pasukan futsal Kelantan membuka langkah kanan apabila mudah sahaja mengalahkan ATM dengan keputusan 4-1. Mereka tidak menunggu lama apabila Ikmal Hisham mudah sahaja menjaringkan gol pada minit ke-4 perlawanan dan selepas itu Izwan meneruskan derita ATM 2 minit kemudian. Selang 3 minit Izzat pula turut menyumbang gol untuk Kelantan selesa mendahului pada tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Kelantan melakukan beberapa pertukaran dan perlu menunggu sehingga minit ke-34 untuk menambah derita sang ATM menerusi Nur Luqman. Namun pada minit-minit akhir perlawanan, ATM berjaya mendapatkan gol penalti menerusi Alif Iqwan. Perlawanan agak tegang sebelum itu pada minit ke-33 apabila pengadil perlawanan melayangkan 3 kad kuning kepada kedua-dua pasukan. Maka tamatlah perlawanan dan satu kemenangan mudah untuk pasukan muda Kelantan.

Kini pasukan Kelantan boleh berehat sementara menunggu aksi seterusnya pada hari Ahad jam 4 petang menentang Pulau Pinang.

Skuad Futsal Kelantan sedia menggempur

Pasukan futsal Kelantan sedia untuk memberi saingan di Liga Futsal Kebangsaan Divisyen 2 (MPFL) yang bakal membuka tirai kejohanan pada 22 Jun 2024 di Sportizza Setapak. Pasukan ATM bakal menjadi pasukan pertama yang bakal dibedil oleh pasukan Kelantan.

Dengan segala persiapan rapi yang dilakukan di Kota Bharu, insyallah kemenangan pertama bakal dikecapi. Tiba masa skuad futsal Kelantan menebus maruah skuad bola sepak negeri yang berbau najis bagaikan perut lembu yang belum dicuci!

Ayuh Gomo Kelate Gomo!

Kelantan FA bakal warnai Liga M tahun depan

TUMPAT: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendedahkan usaha menghidupkan semula Kelantan FA untuk kembali semula bagi mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah dimulakan secara secara diam-diam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya Husin Deraman berkata, pasukan itu akan membuat kemunculan semula dalam Liga M tahun hadapan.

“Ia merupakan sebahagian daripada objektif ‘road map’ KAFA 2024-2034.

“Kita sedang berusaha membina sebuah pasukan baharu untuk kembali terlibat dalam peringkat nasional,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Kelantan FA Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 di Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Husin memberitahu, pihaknya menyedari penyokong-penyokong Kelantan begitu terkesan dengan keputusan The Red Warriors (TRW) menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro pada tahun ini.

Katanya, KAFA yang memahami situasi itu sedang berusaha mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dikecapi dahulu.

“Selepas Kelantan FC hilang daripada peta Liga M, kita cuma boleh mengharapkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Namun kehadiran Sang Kijang Emas tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak terutama kelompok penyokong yang tebal kesetiaannya kepada TRW.

“Sehingga kini kelompok penyokong itu masih mengharapkan kemunculan kembali pasukan kesayangan mereka dalam Liga M. Melihat situasi tersebut, maka KAFA mengusahakan sesuatu,” ujarnya.

Husin berkata, antara usaha dilaksanakan oleh KAFA ke arah kemunculan semula itu adalah menganjurkan liga tempatan untuk merekrut pemain dan menghantar Wan Tendong Stable FC (WTS FC) untuk bermain di Liga M4.

Dalam perkembangan lain, Husin berkata, KAFA masih mempunyai fungsi dalam persada bola sepak Malaysia.

Katanya, badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah hilang tetapi terikat dengan peraturan penswastaan pasukan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri.

“KAFA masih ada tetapi buat masa ini kami beri tumpuan penuh kepada usaha pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. FAM telah menetapkan persatuan tidak boleh mencapuri urusan pasukan.

“Jadi kita bukan berdiam diri tetapi tidak boleh mencampuri urusan pasukan. Itu peraturan penswastaan pasukan di Malaysia. Kita sangat-sangat mahu membantu sebearnya tetapi tidak boleh,” ujarnya. – UTUSAN

PRA MUSIM MPFL 2024 : TERENGGANU UJI KELANTAN DALAM PERLAWANAN PERSAHABATAN

Pasukan futsal Terengganu mengadakan kunjungan ke Kelantan dalam siri perlawanan persahabatan menjelang saingan MPFL 2024. Pasukan Terengganu yang beraksi di Divisyen 1 MPFL menggunakan tempoh rehat di Divisiyen 1 untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Kelantan yang bakal beraksi di Divisyen 2 yang dijangka bermula Jun ini. Dalam pada itu, pasukan Kelantan turut rancak mengadakan perlawanan ujian di mana pasukan Kelantan berjaya menundukkan pasukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 8-1 dalam perlawanan yang berlangsung di N10 Sport Centre, Wakaf Bharu Khamis lepas. Perlawanan antara Kelantan dan Terengganu akan berlangsung jam 8.30 malam ini di N10 Sport Centre, Wakaf Bharu. Pasukan Kelantan diperkuatkan 4 bekas pemain Terengganu 2023 termasuk bekas pemain kebangsaan, Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz.