Author: Hafiz

KL City menanti Kelantan di Play Off Malaysia Futsal Cup 2024

Pasukan Kelantan akan menghadapi cabaran baru apabila dijadualkan menentang pasukan KL City dalam pusingan Play Off Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 pada 1 September ini bertempat di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya. Skuad kendalian Fadhil Yusoff berjaya ke pusingan play off selaku  2 pasukan terbaik Divisyen 2 apabila muncul juara dengan rekod bersih tanpa tewas.

Menjelang perlawanan KL City, pasukan Kelantan tetap waspada dengan pasukan tercorot Divisyen 1 itu meskipun pernah menewaskan KL City pada perlawanan pra musim pada 7 Jun lalu. KL City diperkuatkan oleh 2 pemain import dari Asia dan sudah pasti ia memberi sedikit kekuatan kepada mereka. Walau bagaimana pun, dengan aksi yang bakal berlangsung di Arena Futsal FAM, sudah pasti ia akan memberi sedikit kelebihan kepada Kelantan berikutan 9 daripada 11 perlawanan Divisyen 2 berlangsung di gelanggang berkenaan sebelum ini. Kelantan akan terus mengekalkan skuad yang sama tanpa mengambil pemain baru pada jendela perpindahan pemain yang sedang berlangsung kini.

KELANTAN JUARA SULONG MPFL DIVISYEN 2

Pasukan Kelantan menjadi pasukan pertama menjuarai Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2. Penyertaan pasukan Kelantan FA kali kedua sejak MPFL diperkenalkan pada 2019 meletakkan Kelantan sebagai salah satu pasukan yang membawa pulang piala kejuaraan dan akan terpahat dalam sejarah sukan futsal tanah air. Selaku juara, Kelantan membawa pulang hadiah kemenangan RM25,000.

Dengan berbekalkan rekod 10 kemenangan dan 1 seri dari keseluruhan 11 perlawanan juga merupakan satu-satunya pasukan yang belum tewas semusim dalam mana-mana kejohanan anjuran FAM setakat ini. Kelantan mengguli liga Divisyen 2 dengan 31 mata, meninggalkan pasukan Kedah 10 mata dihadapan. Pulau Pinang mencipta kebangkitan saat akhir apabila berjaya menempatkan mereka di kedudukan ke 3 liga mengatasi Malaysian University yang jatuh  ke tangga ke 4.

Pasukan Kelantan dan Kedah akan meneruskan cabaran ke Play Off Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 1 September ini. Lawan yang menanti mereka adalah 2 pasukan Divisyen 1, Terengganu dan KL City.

2 MATA UNTUK JUARA, KELANTAN LEBIH FOKUS UNTUK 2 KEMENANGAN

Ibarat sebelah kaki sudah melangkah ke gerbang kejuaraan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 Divisyen 2 namun jurulatih dan pemain pasukan Kelantan tidak mahu hanyut dengan situasi tersebut. Pasukan Kelantan terus gigih menjalani latihan seperti biasa demi memberi tumpuan satu perlawanan demi satu perlawanan.

Dalam persiapan menentang pasukan Nilai City SC yang kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 14 mata, Kelantan berjanji akan bermain bermati-matian dan akan terus menurunkan skuad terkuat. Pemain-pemain pasukan Kelantan keseluruhannya bebas dari sebarang kecederaan dan pergantungan.

Nilai City SC merupakan pasukan yang kuat dengan turut dibarisi 2 pemain import, Ahmed Hossam Elkashef dari Mesir serta penjaring terbanyak MPFL Divisyen 2, Ridwan Awaebuesa dari Thailand. Ridwan yang berkongsi 14 gol bersama seorang lagi bintang import dari Thailand, Nattawat yang beraksi Bersama Kedah.

Pada Ahad, 28 Julai 2024, Kelantan akan bertemu satu lagi kelab futsal dari Lembah Klang, Canaan FC.Canaan juga bukan calang -calang pasukan dalam saingan liga. Canaan berjaya menundukkan pasukan yang hebat antaranya Nilai City SC, Malaysian Universiti serta PFA Odin Sarawak.

ASH AFIF CEMERLANG, AZIM KEMBALI KE KEM KELANTAN

Berakhir Sirkit 4 MPFL Divisyen 2 menyaksikan Kelantan terus gah dengan rekod bersih menang kesemua perlawanan. Di sebalik kecemerlangan Kelantan, terselit ketangkasan penjaga gol muda Kelantan yang berusia 21 tahun, Ash Afif Syukran yang beraksi cemerlang menentang Kuala Lumpur dan PFA Odin Sarawak.

Aksi yang tangkas dan bertenaga menyaksikan gawang Kelantan tidak dibolosi lebih banyak gol terutama semasa menentang asakan pantas PFA Odin. Malah beliau turut membuktikan beliau pakar dalam menjaga gawang semasa menghadapi sepakan penalti 10 meter apabila berjaya menyelamatkan 2 sepakan penalti dalam 2 perlawanan tersebut..

Dalam perkembangan lain, penjaga gol utama Kelantan Muhamad Azim Abdullah telah kembali ke kem Kelantan setelah bercuti seminggu bagi memberi tumpuan mengurus dan menjaga ibu beliau yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Kehadiran Azim dapat memberi banyak pilihan kepada jurulatih di mana Azim dan Ash Afif berpeluang untuk beraksi bagi Sirkit 5 nanti sekali gus merialisasikan impian membawa mata penuh bagi kedua-dua perlawanan minggu ini.

SIRKIT 4 : KELANTAN TANPA TEKANAN BAWA PULANG 6 MATA KE KOTA BHARU

Pasukan Kelantan beraksi cemerlang memenangi kedua-dua perlawanan MPFL Sirkit 4 dengan menundukkan skuad warga kota Kuala Lumpur 6-1 dan PFA Odin Sarawak 4-2. Dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur, Kelantan membuka jaringan menerusi sepakan kencang Aqil Khalis yang memaksa penjaga gol Kuala Lumpur, Nooriqbal Azman tertampan bola ke gawang sendiri seawall minit ke 3. Kelantan terus menggandakan asakan dan Berjaya memperolehi gol kedua menerusi ketua pasukan, Aqim Salihuddin pada minit ke 5 diikuti jaringan Firdaus Amzar Ismail 3 minit kemudian. Aqil Khalis melengkapkan gol ke 4 pasukan Kelantan sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur cuba merapatkan kedudukan dengan jaringan yang dilakukan Aisar Azhar. Kelantan terus menambah jaringan menerusi Ikmal Hisham Saufian dan Izzat Aqiyudin Ramli untuk memastikan Kelantan menang selesa 6-1 ke atas Kuala Lumpur.

Dalam satu lagi aksi pasukan Kelantan yang berlangsung sebelah petang tadi, Kelantan berjaya menundukkan PFA Odin Sarawak 4-2 menerusi 2 jaringan Firdaus Amzar, Aqil Khalis dan Izzat Aqiyudin. Gol PFA Odin Sarawak pula dijaringkan Shahmi Suhardi dan Aedel Izzwan Iswandi. Penjaga gol muda Kelantan (Ash Afif Syukran Ramli) mendapat nilaian positif dan pujian daripada penyokong-penyokong Kelantan kerana aksi penyelamatan yang berani dan meyakinkan termasuk menyelamatkan 2 sepakan penalti dalam 2 perlawanan tersebut.

Dengan kejayaan pasukan Kelantan di sirkit 4, Kelantan kini mengumpul 24 mata, 9 mata di hadapan Kedah yang tumpas kedua-dua perlawanan minggu ini. Pasukan Kelantan kini hanya memerlukan 1 mata sebelum disahkan sebagai juara MPFL 2024 bagi Divisyen 2. Dua pasukan teratas Divisyen 2, pasukan Kelantan berpeluang melayakkan diri ke Piala Malaysia dan bersaing bersama pasukan-pasukan Divisyen 1 sekirannya melepasi pusingan ‘play off’. Jika Kelantan menjuarai Divisyen 2, pasukan Kelantan akan bertemu pasukan di tangga ke 7 (kedudukan semasa pasukan Terengganu) dari Divisyen 1 yang dijadualkan berlangsung 29 Ogos 2024.

SIRKIT 4 : MISI 6 MATA DI KELANA JAYA

Pasukan Kelantan akan meneruskan cabaran mempertahankan kedudukan di persada liga MPFL Divisyen 2 di sirkit ke 4 dengan menanti pasukan Kuala Lumpur dan PFA Odin Sarawak. Walaupun misi kali ini tanpa penjaga gol utama Muhammad Azim Abdullah yang terpaksa direhatkan atas urusan keluarga, pasukan Kelantan tetap yakin dapat meneruskan momentum kemenangan bagi mencapai sasaran layak ke Piala Malaysia musim ini. Kelantan kini memimpin liga dengan 18 mata, 3 mata mengatasi Kedah di tangga kedua.

SIRKIT 3 : KELANTAN LEPASI HALANGAN BESAR

Pasukan futsal Kelantan menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua perlawanan setakat 6 perlawanan yang berlangsung dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 bagi musim 2024. Dengan keazaman yang tinggi, Kelantan berjaya menjinakkan gergasi Divisyen 2, Kedah dalam aksi penuh mendebarkan di Kelana Jaya sebentar tadi.

Pada saingan sirkit 3, Kelantan terlebih dahulu (semalam) menjinakkan pasukan PJ Champz FC yang dibarisi 2 pemain import 4-2. Gol- gol Kelantan dijaringkan anak-anak jati Kok Lanas, Firdaus Amzar Ismail dan Ikmal Hisham Saufian yang masing-masing mencetak 2 gol.

Gol-gol PJ Champz pula dijaringkan oleh ketua pasukan Fadzil Karnim serta pemain import tinggi lampai dari Libya, Elruemi Mohamed. Kelantan yang beraksi tanpa tonggak utama pasukan, Izzat Aqiyudin yang digantung satu perlawanan dilihat sedikit sukar untuk mengatasi lawan namun kemenangan tetap berpihak kepada skuad Kijang untuk membawa semangat yang tinggi sebelum bertemu gergasi utara, Kedah.

Dalam pertemuan menentang Kedah, pasukan Kelantan membuka tirai jaringan menerusi jaringan Ahmad Aqil Khalis hasil hantaran ke belakang Izzat Aqiyudin. Kedah kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Saufie Nadzri pada minit ke 8. Kelantan kembali di depan menerusi rembatan padu pivot berpengalaman, Firdaus Amzar yang menerima lorongan cantik Ikmal Hisham pada minit ke 12. Saufie Nadzri sekali lagi menyamakan kedudukan untuk Kedah mengikat Kelantan  2-2 menerusi rembatan kaki kiri. 3 minit sebelum rehat separuh masa pertama, kegopohan penjaga gol Kedah, Haziq Farhan dihukum Izzat Aqiyudin sewaktu penjaga gol itu naik ke tengah gelanggang menyaksikan Izzat melakukan sepakan lambung jarak 19 meter ke dalam gol pasukan Kedah. Kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 3-2 berpihak kepada Kelantan.

Bersambung babak kedua, pasukan Kedah kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import dari Thailand yang juga penjaring terbanyak liga, Nattawat Luksanato. Nattawat seterusnya memastikan jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan ini membawa Kedah di hadapan buat kali pertama untuk kedudukan 4-3.

Kelantan dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke 33 setelah Fauwaz Shaharuddin melakukan kekasaran ke atas Izzat Aqiyudin berhampiran kawasan penalti pasukan Kedah. Izzat Aqiyudin dengan tenang berjaya melakukan tendangan percuma cantik yang melepasi antara pertahanan dan penjaga gol lawan untuk menyamakan kedudukan menjadikan Kelantan dan Kedah terikat 4-4.

Seminit berselang, Aqil Khalis muncul wira pasukan Kelantan dengan menyudahkan hantaran Izzat Aqiyudin untuk gol kemenangan pasukan Kelantan mengatasi Kedah 5-4. Dengan kemenangan tersebut, Kelantan berjaya merampas kedudukan teratas MPFL Divisyen 2 musim 2024. Kelantan akan meneruskan saingan liga pada 20 Julai ini menentang pasukan Kuala Lumpur diikuti pasukan PFA  Odin Sarawak pada 21 Julai.

Sirkit 2 : Sentuhan ‘Magis’ Aqil Khalis

Ahmad Aqil Khalis kembali dari ketandusan jaringan musim ini apabila meledakkan 4 gol dalam 2 perlawanan terakhir minggu ini. Dalam pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan United, Aqil meledak hatrik termasuk gol minit akhir untuk membantu pasukan Kelantan memenangi perlawanan dengan penuh dramatik 6-5. Mohd Firdaus Amzar membuka jaringan pasukan Kelantan pada minit ke 9 sebelum dibalas Ahmad Hambal untuk Negeri Sembulan United menyamakan kedudukan seminit kemudian.Aqil Khalis kembali meletakkan Kelantan di hadapan seminit kemudian disusuli jaringan Ashraf Zakri Efendey pada minit 20 bagi memastikan Kelantan selesa menutup separuh masa pertama dengan bekalan 3-1.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan United menghasilkan gol ke 2 menerusi sepakan ‘half-volley’ yang cantik Daniel Haikal pada minit ke 23. Kelantan terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan kedua bekas pemain kebangsaan, Aqil Khalis untuk gol ke 4 Kelantan. Negeri Sembilan dan Kelantan saling berbalas serangan sehingga membawa gol ke 3 pasukan Negeri Sembilan United melalui jaringan Ahmad Farid Azahar pada minit ke 29 dan gol ke 5 Kelantan seminit kemudian menerusi jaringan Mohd Firdaus Amzar. Jaringan Amirul Aiman seminit sebelum tamat permainan hampir memberi 1 mata untuk Negeri Sembilan United sebagai bekalan namun dihampakan oleh jaringan hatrik Aqil Khalis beberapa saat sebelum tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan bermakna kepada pasukan Kelantan di dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2.

Dalam perlawanan menentang pasukan Melaka, Aqil Khalis sekali lagi menjadi wira pasukan Kelantan bagi memastikan Kelantan membawa bekalan selesa 6 mata dalam 2 perlawanan Sirkit 2. Dalam perlawanan tersebut, pasukan Melaka terlebih dahulu menghasilkan jaringan pembukaan menerusi Najmi Rosli seawal minit ke 3. Nur Luqman Yaakob kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian dengan munyudahkan hantaran Izzat Aqiyudin. Kapten pasukan Kelantan, Aqim Salihuddin menutup tirai jaringan di separuh masa pertama pada minit ke 20 untuk menjadikan kedudukan Kelantan 2-1 Melaka.

Seminit babak kedua bermula, Melaka tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan mudah Akmal Izuddin. Ketika perlawanan dijangka berkesudahan seri 2-2, Ahmad Aqil Khalis muncul sebagai wira pasukan Kelantan  dengan menjaringkan gol kemenangan  beberapa saat sebelum wisel penamat perlawanan. Aqil Khalis turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan 2 kali berturut-turut termasuk semasa membantu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan United.

SIRI JELAJAH PRA MUSIM DI KUALA LUMPUR

Pasukan futsal Kelantan FA akan mengadakan Siri Jelajah Pra Musim di Kuala Lumpur bagi persiapan akhir sebelum Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 Divisyen 2 bermula. Kelantan dijadualkan bertemu pasukan dari Divisyen 1, KL City (7 Jun 2024, 8.30 malam), Shah Alam City (8 Jun 2024, 9.00 malam) dan Malaysia University (9 Jun 2024, 11.00 pagi). Semua perlawanan tersebut berlangsung di OrtusEight Arena (sebelum ini dikenali sebagai KL City Arena), Kompleks Sukan ISN Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan masuk adalah percuma.