Ibarat sebelah kaki sudah melangkah ke gerbang kejuaraan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 Divisyen 2 namun jurulatih dan pemain pasukan Kelantan tidak mahu hanyut dengan situasi tersebut. Pasukan Kelantan terus gigih menjalani latihan seperti biasa demi memberi tumpuan satu perlawanan demi satu perlawanan.
Dalam persiapan menentang pasukan Nilai City SC yang kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 14 mata, Kelantan berjanji akan bermain bermati-matian dan akan terus menurunkan skuad terkuat. Pemain-pemain pasukan Kelantan keseluruhannya bebas dari sebarang kecederaan dan pergantungan.
Nilai City SC merupakan pasukan yang kuat dengan turut dibarisi 2 pemain import, Ahmed Hossam Elkashef dari Mesir serta penjaring terbanyak MPFL Divisyen 2, Ridwan Awaebuesa dari Thailand. Ridwan yang berkongsi 14 gol bersama seorang lagi bintang import dari Thailand, Nattawat yang beraksi Bersama Kedah.
Pada Ahad, 28 Julai 2024, Kelantan akan bertemu satu lagi kelab futsal dari Lembah Klang, Canaan FC.Canaan juga bukan calang -calang pasukan dalam saingan liga. Canaan berjaya menundukkan pasukan yang hebat antaranya Nilai City SC, Malaysian Universiti serta PFA Odin Sarawak.