Kelantan bergaya belasah Pulau Pinang

Kelantan mencatat kemenangan kedua penuh bergaya dengan menewaskan Pulau Pinang 6-2. Kelantan terlebih dahulu ketinggalan 1 gol seawal minit ke 5 menerusi jaringan sendiri Asraf Zakri Efendey.

Asraf kemudian menebus kembali kesalahan jaringan sendiri beliau dengan memadamkan kelebihan pasukan lawan apabila membuka jaringan pertama Kelantan pada minit ke 6. Asraf sekali lagi menambah gol peribadi kedua untuk meletakkan Kelantan mendahului 2-1 pada minit ke 10. 5 minit berselang, Firdaus Amzar menambah 1 lagi gol untuk menjadikan kedudukan pasukan Kelantan 3-1 mengatasi Pulau Pinang.

Izzat Aqiyudin meletakkan Kelantan selesa menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 4-1 menerusi jaringan sepakan percuma seminit sebelum wisel penamat separuh masa.

Di babak kedua, kapten pasukan Kelantan, Aqim Salahuddin menjaringkan gol ke 5 pada minit ke 27 disusuli dengan pemain muda Kelantan yang baru berusia 17 tahun, Faaris Amsyar menambah derita pasukan Pulau Pinang dengan menjaringkan gol ke 6 pasukan Kelantan.

Pasukan Pulau Pinang mendapat gol saguhati kedua pada penghujung permainan pada minit ke 38. Kelantan berpeluang menambah jaringan selepas mendapat sepakan penalti seminit kemudian pada minit 39 tetapi gagal disempurnakan bekas pemain kebangsaan, Aqil Khalis.

Dengan kemenangan ini pasukan Kelantan melonjak kedudukan ke tangga kedua liga, mengekori rapat pasukan Kedah yang masing-masing mengumpul kutipan 6 mata. Pasukan Kelantan akan menanti saingan Negeri Sembilan dan Melaka pada 29 & 30 Jun ini di Gelanggang Futsal Wisma FAM, Kelana Jaya.