Kelantan FA bakal warnai Liga M tahun depan

TUMPAT: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendedahkan usaha menghidupkan semula Kelantan FA untuk kembali semula bagi mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah dimulakan secara secara diam-diam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya Husin Deraman berkata, pasukan itu akan membuat kemunculan semula dalam Liga M tahun hadapan.

“Ia merupakan sebahagian daripada objektif ‘road map’ KAFA 2024-2034.

“Kita sedang berusaha membina sebuah pasukan baharu untuk kembali terlibat dalam peringkat nasional,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Kelantan FA Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 di Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Husin memberitahu, pihaknya menyedari penyokong-penyokong Kelantan begitu terkesan dengan keputusan The Red Warriors (TRW) menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro pada tahun ini.

Katanya, KAFA yang memahami situasi itu sedang berusaha mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dikecapi dahulu.

“Selepas Kelantan FC hilang daripada peta Liga M, kita cuma boleh mengharapkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Namun kehadiran Sang Kijang Emas tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak terutama kelompok penyokong yang tebal kesetiaannya kepada TRW.

“Sehingga kini kelompok penyokong itu masih mengharapkan kemunculan kembali pasukan kesayangan mereka dalam Liga M. Melihat situasi tersebut, maka KAFA mengusahakan sesuatu,” ujarnya.

Husin berkata, antara usaha dilaksanakan oleh KAFA ke arah kemunculan semula itu adalah menganjurkan liga tempatan untuk merekrut pemain dan menghantar Wan Tendong Stable FC (WTS FC) untuk bermain di Liga M4.

Dalam perkembangan lain, Husin berkata, KAFA masih mempunyai fungsi dalam persada bola sepak Malaysia.

Katanya, badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah hilang tetapi terikat dengan peraturan penswastaan pasukan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri.

“KAFA masih ada tetapi buat masa ini kami beri tumpuan penuh kepada usaha pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. FAM telah menetapkan persatuan tidak boleh mencapuri urusan pasukan.

“Jadi kita bukan berdiam diri tetapi tidak boleh mencampuri urusan pasukan. Itu peraturan penswastaan pasukan di Malaysia. Kita sangat-sangat mahu membantu sebearnya tetapi tidak boleh,” ujarnya. – UTUSAN

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *