Ahmad Aqil Khalis kembali dari ketandusan jaringan musim ini apabila meledakkan 4 gol dalam 2 perlawanan terakhir minggu ini. Dalam pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan United, Aqil meledak hatrik termasuk gol minit akhir untuk membantu pasukan Kelantan memenangi perlawanan dengan penuh dramatik 6-5. Mohd Firdaus Amzar membuka jaringan pasukan Kelantan pada minit ke 9 sebelum dibalas Ahmad Hambal untuk Negeri Sembulan United menyamakan kedudukan seminit kemudian.Aqil Khalis kembali meletakkan Kelantan di hadapan seminit kemudian disusuli jaringan Ashraf Zakri Efendey pada minit 20 bagi memastikan Kelantan selesa menutup separuh masa pertama dengan bekalan 3-1.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan United menghasilkan gol ke 2 menerusi sepakan ‘half-volley’ yang cantik Daniel Haikal pada minit ke 23. Kelantan terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan kedua bekas pemain kebangsaan, Aqil Khalis untuk gol ke 4 Kelantan. Negeri Sembilan dan Kelantan saling berbalas serangan sehingga membawa gol ke 3 pasukan Negeri Sembilan United melalui jaringan Ahmad Farid Azahar pada minit ke 29 dan gol ke 5 Kelantan seminit kemudian menerusi jaringan Mohd Firdaus Amzar. Jaringan Amirul Aiman seminit sebelum tamat permainan hampir memberi 1 mata untuk Negeri Sembilan United sebagai bekalan namun dihampakan oleh jaringan hatrik Aqil Khalis beberapa saat sebelum tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan bermakna kepada pasukan Kelantan di dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2.
Dalam perlawanan menentang pasukan Melaka, Aqil Khalis sekali lagi menjadi wira pasukan Kelantan bagi memastikan Kelantan membawa bekalan selesa 6 mata dalam 2 perlawanan Sirkit 2. Dalam perlawanan tersebut, pasukan Melaka terlebih dahulu menghasilkan jaringan pembukaan menerusi Najmi Rosli seawal minit ke 3. Nur Luqman Yaakob kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian dengan munyudahkan hantaran Izzat Aqiyudin. Kapten pasukan Kelantan, Aqim Salihuddin menutup tirai jaringan di separuh masa pertama pada minit ke 20 untuk menjadikan kedudukan Kelantan 2-1 Melaka.
Seminit babak kedua bermula, Melaka tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan mudah Akmal Izuddin. Ketika perlawanan dijangka berkesudahan seri 2-2, Ahmad Aqil Khalis muncul sebagai wira pasukan Kelantan dengan menjaringkan gol kemenangan beberapa saat sebelum wisel penamat perlawanan. Aqil Khalis turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan 2 kali berturut-turut termasuk semasa membantu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan United.