SIRKIT 3 : KELANTAN LEPASI HALANGAN BESAR

Pasukan futsal Kelantan menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua perlawanan setakat 6 perlawanan yang berlangsung dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 bagi musim 2024. Dengan keazaman yang tinggi, Kelantan berjaya menjinakkan gergasi Divisyen 2, Kedah dalam aksi penuh mendebarkan di Kelana Jaya sebentar tadi.

Pada saingan sirkit 3, Kelantan terlebih dahulu (semalam) menjinakkan pasukan PJ Champz FC yang dibarisi 2 pemain import 4-2. Gol- gol Kelantan dijaringkan anak-anak jati Kok Lanas, Firdaus Amzar Ismail dan Ikmal Hisham Saufian yang masing-masing mencetak 2 gol.

Gol-gol PJ Champz pula dijaringkan oleh ketua pasukan Fadzil Karnim serta pemain import tinggi lampai dari Libya, Elruemi Mohamed. Kelantan yang beraksi tanpa tonggak utama pasukan, Izzat Aqiyudin yang digantung satu perlawanan dilihat sedikit sukar untuk mengatasi lawan namun kemenangan tetap berpihak kepada skuad Kijang untuk membawa semangat yang tinggi sebelum bertemu gergasi utara, Kedah.

Dalam pertemuan menentang Kedah, pasukan Kelantan membuka tirai jaringan menerusi jaringan Ahmad Aqil Khalis hasil hantaran ke belakang Izzat Aqiyudin. Kedah kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Saufie Nadzri pada minit ke 8. Kelantan kembali di depan menerusi rembatan padu pivot berpengalaman, Firdaus Amzar yang menerima lorongan cantik Ikmal Hisham pada minit ke 12. Saufie Nadzri sekali lagi menyamakan kedudukan untuk Kedah mengikat Kelantan  2-2 menerusi rembatan kaki kiri. 3 minit sebelum rehat separuh masa pertama, kegopohan penjaga gol Kedah, Haziq Farhan dihukum Izzat Aqiyudin sewaktu penjaga gol itu naik ke tengah gelanggang menyaksikan Izzat melakukan sepakan lambung jarak 19 meter ke dalam gol pasukan Kedah. Kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 3-2 berpihak kepada Kelantan.

Bersambung babak kedua, pasukan Kedah kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import dari Thailand yang juga penjaring terbanyak liga, Nattawat Luksanato. Nattawat seterusnya memastikan jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan ini membawa Kedah di hadapan buat kali pertama untuk kedudukan 4-3.

Kelantan dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke 33 setelah Fauwaz Shaharuddin melakukan kekasaran ke atas Izzat Aqiyudin berhampiran kawasan penalti pasukan Kedah. Izzat Aqiyudin dengan tenang berjaya melakukan tendangan percuma cantik yang melepasi antara pertahanan dan penjaga gol lawan untuk menyamakan kedudukan menjadikan Kelantan dan Kedah terikat 4-4.

Seminit berselang, Aqil Khalis muncul wira pasukan Kelantan dengan menyudahkan hantaran Izzat Aqiyudin untuk gol kemenangan pasukan Kelantan mengatasi Kedah 5-4. Dengan kemenangan tersebut, Kelantan berjaya merampas kedudukan teratas MPFL Divisyen 2 musim 2024. Kelantan akan meneruskan saingan liga pada 20 Julai ini menentang pasukan Kuala Lumpur diikuti pasukan PFA  Odin Sarawak pada 21 Julai.