Pasukan Kelantan beraksi cemerlang memenangi kedua-dua perlawanan MPFL Sirkit 4 dengan menundukkan skuad warga kota Kuala Lumpur 6-1 dan PFA Odin Sarawak 4-2. Dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur, Kelantan membuka jaringan menerusi sepakan kencang Aqil Khalis yang memaksa penjaga gol Kuala Lumpur, Nooriqbal Azman tertampan bola ke gawang sendiri seawall minit ke 3. Kelantan terus menggandakan asakan dan Berjaya memperolehi gol kedua menerusi ketua pasukan, Aqim Salihuddin pada minit ke 5 diikuti jaringan Firdaus Amzar Ismail 3 minit kemudian. Aqil Khalis melengkapkan gol ke 4 pasukan Kelantan sebelum tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur cuba merapatkan kedudukan dengan jaringan yang dilakukan Aisar Azhar. Kelantan terus menambah jaringan menerusi Ikmal Hisham Saufian dan Izzat Aqiyudin Ramli untuk memastikan Kelantan menang selesa 6-1 ke atas Kuala Lumpur.
Dalam satu lagi aksi pasukan Kelantan yang berlangsung sebelah petang tadi, Kelantan berjaya menundukkan PFA Odin Sarawak 4-2 menerusi 2 jaringan Firdaus Amzar, Aqil Khalis dan Izzat Aqiyudin. Gol PFA Odin Sarawak pula dijaringkan Shahmi Suhardi dan Aedel Izzwan Iswandi. Penjaga gol muda Kelantan (Ash Afif Syukran Ramli) mendapat nilaian positif dan pujian daripada penyokong-penyokong Kelantan kerana aksi penyelamatan yang berani dan meyakinkan termasuk menyelamatkan 2 sepakan penalti dalam 2 perlawanan tersebut.
Dengan kejayaan pasukan Kelantan di sirkit 4, Kelantan kini mengumpul 24 mata, 9 mata di hadapan Kedah yang tumpas kedua-dua perlawanan minggu ini. Pasukan Kelantan kini hanya memerlukan 1 mata sebelum disahkan sebagai juara MPFL 2024 bagi Divisyen 2. Dua pasukan teratas Divisyen 2, pasukan Kelantan berpeluang melayakkan diri ke Piala Malaysia dan bersaing bersama pasukan-pasukan Divisyen 1 sekirannya melepasi pusingan ‘play off’. Jika Kelantan menjuarai Divisyen 2, pasukan Kelantan akan bertemu pasukan di tangga ke 7 (kedudukan semasa pasukan Terengganu) dari Divisyen 1 yang dijadualkan berlangsung 29 Ogos 2024.