Perlawanan persahabatan menentang pasukan futsal Liga IPT, Universiti Malaysia Kelantan (UMK FT) dan pasukan Terengganu akan menjadi medan ujian terakhir dalam sesi pemilihan pemain Kelantan FT musim ini. Kelantan dijadualkan menentang UMK FT pada 16 April (malam ini) dan pasukan Terengganu pada 18 April (Jumaat) jam 8.30 malam di N10 Sport Centre, Wakaf Bharu.
Pasukan Kelantan dan Terengganu memilih untuk bersaing dalam Malaysia Premier Futsal League Divisyen 2 (MPFL2) musim 2025 walaupun kedua-dua pasukan ini layak beraksi di MPFL Divisyen 1. Pasukan Kelantan dijangka akan memuktamadkan barisan pemain yang akan didaftarkan bagi menghadapi saingan MPFL2 sebaik tamat dua perlawanan persahabatan ini. Kelantan mengekalkan 80 peratus barisan pemain yang menjuarai MPFL2 2024. Kelantan kehilangan 2 tonggak utama musim lepas (Luqman Yaacob & Ashraf Zakri Effendi) dan turut melakukan sedikit rombakan di beberapa posisi pemain sokongan bagi menjadikan barisan kali ini lebih mantap. Saingan MPFL2 akan bermula penghujung bulan Mei 2025.